Mission Biofuels Sdn. Bhd. (Mission Biofuels) akan melabur RM150 juta untuk membina sebuah loji biodiesel terbesar di negara ini yang mampu menghasilkan 250,000 tan bahan bakar itu setahun.

Pengarah Urusannya, Nathan Mahalingam berkata, loji yang akan didirikan di Pelabuhan Kuantan, Pahang itu, dijangka siap dalam tempoh 14 bulan, sekali gus akan menjadikan syarikat itu pengeluar biodiesel terbesar di Malaysia.

Mahalingam berkata, produknya yang dihasilkan itu akan dieksport ke Eropah dan Amerika Syarikat.

“Kami mempunyai kontrak (pembekalan) dengan firma perdagangan di Eropah dan anda tidak boleh mengenepikan negara-negara di Asia seperti India, China, Jepun dan Korea Selatan.

“Malaysia juga bergerak ke arah itu (penggunaan biodiesel sebagai bahan bakar), malah seluruh dunia menuju ke arah itu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas memeterai perjanjian Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pelaksanaan (EPCC) cadangan pembinaan loji biodiesel dan glycerine antara Mission Biofuels dan KNM Process Systems Sdn. Bhd. (KNMPS) di sini, hari ini.

Mission Biofuels turut memeterai perjanjian dengan Axens Process Licensing bagi membolehkan syarikat itu menggunakan teknologi generasi kedua penghasilan biodisel, Esterfip-H yang lebih cekap.

Pada majlis itu, Nathan mewakili Mission Biofuels, KNMPS diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ir. Lee Swee Eng manakala Axens Process Licensing diwakili oleh Pengarah Urusannya, Michel Dugert.

Mission Biofuels merupakan anak syarikat milik penuh Mission Biofuels Ltd. of Australia yang disenaraikan di Bursa Saham Australia.

Syarikat itu akan menghasilkan 350,000 tan biodiesel setahun pada tahun 2008 berikutan 100,000 tan bahan bakar itu diproses daripada satu lagi lojinya yang pertama yang dijangka siap pada bulan depan di lokasi sama.

Penghantaran biodisel pertama akan dilakukan pada bulan September ini. Menurut Nathan, pihaknya tidak menghadapi masalah mendapatkan bahan mentah bagi penghasilan biodiesel berasaskan minyak kelapa sawit memandangkan Malaysia merupakan pengeluar utama komoditi itu.

Tambah beliau, dengan harga minyak mentah berada pada paras ketika ini, kira-kira AS$70 (RM239) setong, penghasilan biodiesel berasaskan minyak sawit masih lagi berdaya maju.

Ditanya sama ada Mission Biofuels akan membuka lebih banyak loji penghasilan biodiesel di negara ini, Nathan berkata, usaha itu akan dilakukan selari dengan pertambahan bahan mentah yang dihasilkan dalam negara.


<< previous | main | next >>

© Copyright 2004 KNM Group Berhad All rights reserved.